NEVER EVER GIVE UP!!!

Seminar Fiqh Wanita dan Kenegaraan

Program ini berlangsung, pada tahun 2013 di Universiti Malaysia Cawangan Nilam Puri bersama Dr Asri Zainal Abidin (USM) dan Prof Dr Najibah (UIA).

MOTIVASI KEJAYAAN : Be Confident!!!

Tidak Salah Menghormati Orang Lain, Namun Jangan Pernah Pandang Rendah Pada Diri Sendiri.

PENCETUS UMMAH MUSIM PERTAMA

Perjalanan Di Pencetus Ummah Mengajar Saya Banyak Perkara, Betapa Penting Seorang Daie "WAJIB BERILMU". Disebabkan itu saya bermusafir ke JORDAN untuk menimba ILMU.

ANUGERAH PELAJAR TERBAIK KONVOKEYEN KIAS NILAM PURI (2013)

Waktu ini saya sudah berada di Jordan. Dan ini HADIAH terindah buat IBU SAYA yang tak pernah putus asa memberi semangat untuk saya terus berlari laju dalam KEMBARA ILMU ini.

Motivasiagama Training And Consultancy (MATC)

MATC adalah sebuah syarikat MOTIVASI yang saya kendalikan sendiri. Hampir seratus buah sekolah dan IPT telah menjemput saya berkongsi pengalaman kehidupan saya dari pelajar gagal di kelas Terakhir hingga Berjaya seperti hari ini. Diploma in Mechatronic Engineering, Diploma in Syariah and Bachelor in Fiqh and Usul Fiqh (Jordan)(Last Sem).

Sunday, March 8, 2009

Maulid: Antara Sejarah Dan Amalan

Para sarjana sejarahwan Islam berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi s.a.w. Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim hanya menyebut bahawa baginda lahir pada hari Isnin tanpa menyebut haribulannya. Sesiapa yang membaca karya-karya sejarah Islam yang besar seperti al-Bidayah wa al-Nihayah oleh al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) akan melihat berbagai pendapat tentang haribulan dan bulan kelahiran baginda s.a.w.


Bagi yang berpendapat baginda lahir pada Bulan Rabi’ul Awwal, mereka berbeza pendapat pula dalam menentukan haribulannya. Ada yang menentukan pada 8 haribulan, ada yang pada 9 haribulan, ada pula pada 12 haribulan seperti yang menjadi anggapan ramai, ada juga pada 17 haribulan dan seumpamanya. Di samping di sana ada pula sarjana Islam yang menyatakan baginda lahir pada Bulan Ramadan dengan hujah-hujah mereka yang tersendiri.

Apa pun yang penting, sejarahwan Timur atau Barat, Utara atau Selatan tidak pernah berbelah pendapat tentang lahirnya seorang insan bernama Muhammad bin ‘Abdillah yang diikrarkan oleh umat Islam sebagai rasul terakhir yang diutuskan Allah. Hal ini berbeza dengan Jesus yang berada dalam gambaran Barat. Setengah ahli kajian mereka mempertikaikan tentang kelahiran Jesus itu sendiri.

Kelahiran Nabi s.a.w adalah peristiwa yang amat penting kerana ia peristiwa yang memulakan episod baru bagi kehidupan manusia sejagat. Penentuan haribulan atau bulan secara tepat bukanlah faktor utama. Tidak dapat menentukan tarikh lahir yang pasti, bukan bererti seseorang itu tidak wujud. Entah berapa ramai para nabi, tokoh, individu yang gagal dikesan tarikh kelahiran mereka, tetapi mereka wujud dan telah mewarnai sejarah.

Kegagalan sarjana untuk mengetahui hari dan bulan sebenar kelahiran Nabi s.a.w antaranya berpunca daripada tindakan para sahabah Nabi s.a.w yang tidak merayakan tarikh tersebut. Walaupun dalam sejarah Islam, merekalah generasi yang paling mencintai Nabi s.a.w namun mereka tidak membuat perayaan khas hari kelahiran baginda disebabkan kerana mereka tidak melihat baginda melakukan hal yang demikian.

Bahkan Ibn Kathir menceritakan bagaimana Saidina ‘Umar apabila dicadangkan permulaan tahun Islam dikira pada tahun kelahiran Nabi s.a.w, beliau menolaknya. Sebaliknya khalifah agung itu memilih tahun hijrah baginda sebagai permulaan kiraan. Bukan kelahiran tidak penting, tetapi hijrah adalah permulaan kejayaan dan sejarah perjuangan. Perkara yang paling utama buat seorang rasul ialah baginda diikuti, bukan sekadar dirayakan. Saban tahun orang Kristian Barat merayakan kelahiran Jesus, namun apakah kehidupan mereka sama seperti yang diajar oleh Jesus?

Hari berganti dan bertukar. Dunia Islam beralun dengan berbagai krisis politik yang akhirnya mencetuskan mazhab. Antaranya Mazhab Syiah yang asalnya merupakan mazhab politik, bertukar menjadi mazhab agama dengan segala macam aliran di dalamnya. Islam sepatutnya mencorakkan politik telah bertukar menjadi ‘politik mencorakkan Islam’. Lalu kefahaman agama dibina di atas blok-blok politik, bukan reka fikir politik itu diwarnakan oleh Islam. Maka perebutan kuasa berlaku atas agenda politik yang dimasukkan unsur Islam ke dalamnya. Maka berselerakanlah umat Islam akibat agenda politik berbagai aliran.

Di Mesir, Syiah Fatimiyyah pernah menguasai tampok kuasa. Berbagai agenda agama dilaksanakan dalam kerangka pemikiran mazhab politik yang bertukar menjadi agama. Berbagai perayaan agama dibuat dengan tujuan untuk mencapai matlamat politik yang tersendiri.

Dalam Fatawa al-Azhar diakui bahawa ahli sejarahwan Islam tidak mengetahui sesiapa pun yang memulakan perayaan Maulid Nabi s.a.w melainkan Kerajaan Syi’ah Fatimiyyah di Mesir yang mengadakannya secara besar-besaran. Mereka turut meraikan hari kelahiran tokoh-tokoh Ahlil Bait dan kelahiran Nabi Isa a.s. Kemudian pada tahun 488H dihentikan oleh Khalifah mereka al-Musta’la billah. Kemudian dihidupkan kembali oleh sesetengah kerajaan dan negeri. Demikianlah sejarahnya.

Ya, saya fikir, perasaan bersyukur mengenangkan sejarah kelahiran Nabi s.a.w dengan semangat untuk mengikuti baginda adalah wajar. Di samping kita perlu sedar fakta-fakta yang disebutkan tadi. Jika Bulan Rabi’ul Awwal ini dikatakan bulan kelahiran Nabi s.a.w, maka tidak salah untuk kita berceramah menceritakan sejarah perjuangan dan prinsip-prinsip Islam yang dibawa oleh baginda. Sama ada pada bulan ini atau selain. Sama seperti apabila kita melintas suatu tempat bersejarah, kita mengenang sejarah tersebut. Cuma janganlah kita ini menjadi manusia bermusim yang hanya mengenang rasul dan ajaran baginda pada hari-hari tertentu, tetapi kita seakan sudah tidak mengingati baginda selepas itu.

Di samping itu, hendaklah kita sedar, jika kita mengikuti Nabi s.a.w, maka pastikan kita tidak menokok tambah ajaran baginda apa yang baginda tidak izinkan. Baginda bersabda:

“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak” (Riwayat Muslim).

Oleh kerana baginda tidak pernah menunjukkan kita ibadah khas sempena kelahiran baginda samada solat khas, atau puasa khas atau bacaan khas, maka kita tidak boleh mengadakannya. Jalan yang patut diikuti dalam masalah ini adalah jalan para sahabah baginda s.a.w. Sabda baginda s.a.w:

“..Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 puak, dan umatku akan berpecah kepada 73 puak. Kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak”. Mereka bertanya: “Apakah puak itu wahai RasululLah?” Jawab baginda: “Apa yang aku dan para sahabahku berada di atasnya”. (Riwayat al-Tirmizi dinilai sahih oleh al-Diya al-Maqdisi).

Perlu diingat, antara keistimewanya sejarah Nabi s.a.w kerana ia dapat dikenal pasti antara yang tulen dan tokok tambah. Ini berbeza dengan sejarah pengasas-pengasas agama dalam dunia ini yang hampir keseluruhan sejarah mereka dibina atas sangkaan atau perkhabaran yang tidak pasti. Ilmu hadis yang menapis sanad dan matan telah memelihara fakta sejarah nabi kita Muhammad s.a.w. Hanya sejarah yang pasti sahaja yang menjadi ikutan kita, bukan yang direka.

Kata al-Sayyid Sulaiman al-Nadwi:

“Sesungguhnya sirah yang berhak diikuti oleh manusia sebagai contoh yang baik dan teladan yang tinggi disyaratkan terlebih dahulu mestilah bersifat tarikhiyyah (sejarah). Adapun sirah yang tertegak diatas dongengan dan cerita-cerita khurafat yang tidak disokong oleh riwayat-riwayat yang dipercayai kesahihannya, adalah menjadi tabiat insan tidak akan terpengaruh dengan apa yag diceritakan kepadanya tentang sirah peribadi yang direka sedangkan sejarah tidak pernah mengenalinya” (Sulaiman al-Nadwi, al-Risalah al-Muhammadiyyah, m.s. 41, Saudi: al-Dar al-Sa`udiyyah).

Buku Maulid al-Barzanji yang banyak dibaca dalam masyarakat kita ketika majlis kenduri-kendara atau selainnya mempunyai sumbangan yang tersendiri. Banyak sirah yang sahih dicatatkan oleh penulis karya tersebut iaitu Ja’far bin Hasan bin `Abd al-Karim al-Barzanji (meninggal 1187H). Namun satu hakikat yang diboleh dinafikan dari segi ilmu hadis bahawa terdapat fakta-fakta yang tidak sahih dalam buku al-Barzanji tersebut. Antaranya, beliau menyebut:

“Telah hadirlah pada malam kelahiran baginda (Nabi s.a.w.) Asiah (isteri Fir`aun yang beriman) dan Maryam (ibu Nabi Isa a.s.) dalam kumpulan wanita dari syurga)”.

Tiada satu riwayat yang sahih daripada Nabi s.a.w yang mengakui peristiwa seperti ini. Sehingga seorang pengkaji sejarah Muhammad Muhammad Hasan Syurrab menyebut:

“Wajib kita berhati-hati ketika memetik dari buku-buku sirah terutamanya buku-buku sirah yang terkemudian. Para rawinya (periwayat) banyak menokok tambah cerita dan sirah Rasulullah. Mereka mengaitkan kepada baginda mu’jizat dan perkara-perkara luar biasa sejak kelahiran sehingga kepada kewafatan baginda dengan perkara yang tidak ada sanad yang boleh dipegang. Seakan-akan para rawi ini melihat tujuan penambahan perkara-perkara luar biasa ini untuk memberikan kepada Rasul a.s. mu’jizat-mu’jizat yang tidak ada pada para nabi sebelum baginda (Muhammad Muhammad Hasan Syurrab, Fi Usul Tarikh al-`Arab al-Islami, m.s. 84, Damsyik, Dar al-Qalam).

Kita semua bersyukur dan bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Namun kita wajib pastikan cara kita ikut dan faham mengenai baginda. Saban tahun banyak pihak yang meraikan maulid, apakah umat Islam bertambah dekat dengan baginda?

SALAH FAHAM TERHADAP SUNNAH PERKAHWINAN DALAM ISLAM

Bismillahirrahmanirrahim

Perkahwinan adalah suatu sebutan yang manis di kalangan para “Syabab dan Akhawat” kerana ini adalah “ Sunnatul Hayah” yang telah di tentukan oleh Allah swt kepada Bani Adam dan Banat Hawwa. Ianya menjadi impian setiap Syabab dan Akhawat bahkan mereka yang telahpun merasai nikmat perkahwinan juga tidak ketinggalan. Tetapi mengapa kita merasa takut dan gerun apabila berbincang tentang perkahwinan atau ‘Az-Zawaj’ secara serius sama ada dengan keluarga atau kawan. Bahkan kita cuba berdolak dalih dengan berbagai alasan yang dibuat-buat untuk mengelakkan diri dari ‘alam perkahwinan’, sunnah yang di ajar oleh penghulu anak Adam alaihissolatu wassalam. Sedangkan kitalah orang yang paling lantang apabila berbual dengan kawan-kawan tentang perkahwinan.

Para pelajar samada siswa atau siswi dan golongan muda-mudi yang hidup dalam masyarakat yang terbuka, terdedah kepada maksiat yang boleh didapati dengan mudah dan senang – kecuali mereka yang di pelihara oleh Allah – adalah golongan yang suka beralasan dan berdolak dalih untuk melarikan diri dari sunnah ini.

Antara alasan atau hujjah yang mereka berikan ialah takut mengganggu pelajaran, mahu enjoy dulu masa muda, buat menyusahkan diri dengan tanggungjawab dan ‘mas-uliah’ rumah tangga, takut terikat lalu tidak boleh lagi melakukan apa yang dihajat oleh orang-orang muda dan berbagai alasan lagi dicipta untuk melepaskan diri mereka dari sunnatul hayah yang menjadi tuntutan naluri atau fitrah insaniah manusia yang sejahtera dan bersumberkan wahyu serta tidak di nodai oleh nafsu syaitan.

Beberapa tahun dahulu, satu muktamar antarabangsa telah diadakan di Kaherah, Mesir, iaitu ‘Muktamar al-Iskan wa at-Tamiah’ (Muktamar Populasi dan Kemajuan) secara terang telah menolak ‘Fitrah Insaniah as-Salimah’. Antara resolusi muktamar itu ialah menggalakkan pengguguran dan membuka peluang seluas-seluasnya untuk zina, homoseks dan lain-lain. Sebaliknya pula mereka mengecam perkahwinan awal atau perkahwinan di usia muda, sedangkan pada waktu itulah tuntutan nafsu begitu tinggi sekali dan godaan pula terlalu banyak lebih-lebih lagi golongan muda mudi yang berada di dalam masyarakat yang terbuka dari segenap sudut serta pergaulan bebas yang tiada batas.

Amat tepat sekali anggapan beberapa orang ulama’ yang mengatakan muktamar itu sebenarnya muktamar ‘Hayawani’ bukan insani apalagi Islami kerana ia secara jelas telah melanggar fitrah manusia yang telah tentukan oleh Allah swt. Begitu juga dengan pergerakan pembebasan wanita, ‘Women Lib’s’ yang berusaha untuk membebaskan wanita dari fitrah mereka yang dijadikan oleh Allah swt. Bermula dengan merubah pakaian kaum wanita dari pakaian menutup aurat yang sempurna dan penuh sopan kepada yang mededahkan aurat yang diharamkan oleh Allah swt. Seterusnya menggalakkan perbuatan yang dilaknat oleh Allah swt sehinggakan pada zaman mutakhir ini, di negara ini sendiri, kita tidak lagi dapat membezakan di antara muslimat dan non-muslimat, semuanya terbuka dan terdedah, kecuali apabila merujuk kad pengenalan mereka, tetapi golongan lelaki pula sebaliknya diajar supaya berpakaian kemas dan lengkap!!! Golongan ini juga berusaha untuk menyamakan wanita dan lelaki dengan pelbagai alasan.

Tentunya sebagai pemuda pemudi Islam yang beriman dengan Allah dan berasulkan Nabi Muhammad saw, marilah kita kembali kepada fitrah yang diwahyukan kepada Nabi saw kerana inilah sahaja jalan yang boleh menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat kerana “Al-maasi barlidul Kufr” iaitu maksiat ialah jalan yang membawa kepada kekufuran. Sesungguhnya perkahwinan merupakan ‘hasonah’ atau benteng yang kukuh untuk menyelamatkan kita dari maksiat, Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud:

Wahai golongan pemuda sesiapa yang mempunyai kemampuan di kalangan kamu hendaklah ia berkahwin kerana ianya boleh menundukkan pandangan mata dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mempunyai kemampuan hendaklah ia berpuasa kerana puasa memjadi pelindung kepadanya”. [HR Al-Bukhari]

Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud:

Apabila seorang hamba telah berkahwin ia telah menyempurnakan setengah dari agamanya maka hendaklah ia bertakwa untuk yang setengah lagi[HR Al-Baihaqi dalam Asy-Syu’ab, dinilai “Hasan” dalam Sahih Al-Jami’]

Terdapat banyak lagi hadis-hadis serta taujihaad-taujihaad dan irsyadaat-irsyadaat (bimbingan) dari Rasullulah saw kepada umatnya tentang kelebihan berkahwin.

Faedah Berkahwin:

Seterusnya sama-sama kita melihat faedah “Az-zawaj” secara ringkas seperti yang disebutkan oleh para ulama di antaranya As Syeikh Muhammad Ali Assobuni dalam kitabnya Az-zawaj al-Islami Al-Mubakkir [ms: 38], Perkahwinan Awal secara Islami, antaranya:

  1. Mengekalkan keturunan.

  1. Memelihara diri dari godaan syaitan. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Aku tidak tinggalkan suatu fitnah yang paling mudharat kepada kaum lelaki selain dari fitnah perempuan”. [HR Al-Bukhari].

Kata setengah ulama’ syaitan berkata kepada perempuan: Kamu adalah setengah daripada tenteraku, kamu adalah anak panahku yang tidak pernah salah sasarannya.

  1. Mendapat ketenangan dan kerehatan seorang suami apabila berada di samping isteri yang baik serta toma’ninah dalam kehidupan berumahtangga.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

Aku khabarkan kepada kamu apakah perkara paling baik yang dimiliki oleh seorang itu? Iaitu isteri yang solehah apabila ia melihat kepadanya menyenangkan hatinya, apabila disuruh membuat sesuatu pekerjaan dipatuhinya dan apabila ia keluar dari rumah ia memelihara dirinya.” [HR Al-Hakim, dinilai “Dhaif” dalam Dhaif al-Jami’].

  1. Melapangkan diri dari kerja-kerja rumah yang memberi peluang kepadanya untuk menumpukan kepada kerja-kerja yang lebih besar, berjihad, berdakwah dan lain-lainnya.

  1. Mujahadatun-Nafs serta melatih diri dengan tanggungjawab terhadap rumahtangga, isteri dan anak-anak. Bersabar menanggung kesusahan dan berusaha untuk membentuk dan mendidik mereka ke jalan yang betul. Sayyidina Umar Al Khattab ra berkata, maksudnya: “Tidak ada perkara yang dapat menyekat seseorang itu dari berkahwin kecuali ia tidak berkemampuan (zahir dan batin) atau ia seorang yang Fajir (orang yang suka melepaskan nafsu ke tempat-tempat yang haram).”

Perkahwinan dalam Islam adalah suatu ibadat dan Qurbah, seorang mukmin akan diberi pahala dan ganjaran oleh Allah apabila mengikhlaskan niat perkahwinannya dengan tujuan untuk memelihara diri dari perkara yang haram, bukan semata-mata untuk melepaskan nafsu syahwat sahaja.

Nasihat untuk para pelajar:

Tetapi sebelum melangkah ke alam perkahwinan, seorang pelajar terlebih dahulu hendaklah mengkaji keadaan atau zuruf yang sesuai. Sebagai pelajar adalah perlu mengambil kira masa dan tempat belajar, agar ianya tidak mengganggu proses pembelajaran dan ‘tahsilul ilmi’ yang bermanfaat. Serta jangan menjadikannya suatu alasan untuk melarikan diri dari tanggungjawab seperti mereka yang disebutkan pada awal perbincangan tadi. Jangan kerananya kita berada di dalam masyarakat yang hidup liar dan bebas kerana sudah pasti perkahwinan merupakan suatu wasilah untuk menyelamatkan diri dari terjerumus ke lembah maksiat.

Mereka yang telah melaksanakan sunnah ini hendaklah bersabar dalam menghadapi karenah pasangan masing-masing. Bagi yang hidup berjauhan pula, bersabarlah atas perpisahan yang sementara ini, jangan kerana suami/isteri kita mengabai dan meninggalkan pelajaran. Manakala seorang pendakwah pula hendaklah lebih gigih lagi dalam kerja dakwahnya, jangan menjadi orang yang gugur (al-mutasaqit) dari medan dakwah kerana sayang untuk meninggalkan isteri.

Allah swt telah mengingatkan kita melalui firmannya yang bermaksud:

{Wahai orang yang beriman, sesungguhnya di antara isteri-isteri mu dan anak-anak mu ada yang menjadi musuh bagi mu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka, dan jika kamu maafkan, tidak memarahi dan mengampunkan (mereka) sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya harta mu dan anak-anak mu hanyalah cubaan fitnah bagimu dan di sisi Allah pahala yang besar.} [At-Taghabun: 14-15].

Akhirnya sentiasalah kita berdoa dengan doa yang di ajar oleh Allah:

ربنا هب لنا من أزواجنا وذريتنا قرة أعين واجعلنا للمتقين إماما

Dan doa yang di ajar oleh Abdullah Bin Mas ‘ud ra kepada para syabab:

أللهم أرزقني امراة إذا نظرتُ إليها سرَّتني، وإذا أمرتُها طاعتني،

وإذاغِبت عنها حفظت غيبي في نفسها ومالي.

Maksudnya: “Wahai Tuhan, rezekilah kepadaku isteri yang apabila aku memandang kepadanya akan menggembirakanku, apabila aku menyuruhnya (melakukan sesuatu) dia akan taat kepadaku, apabila aku tidak ada dia akan menjaga kehormatan dirinya dan hartaku”.

Sekian. Akhukum:

Abu Anas Madani, 04-02-2009.

Dr Abdul Basit bin Tuan Guru Haji Abdul Rahman.

PhD. Syariah, Master, BA dari Universiti Islam Madinah

Mudir Pondok Sungai Durian.

www.abuanasmadani.com

[Sumber: Majalah “Suara Madinah” 1415H-1994].